
Tegasnya, anak muda perlu diberi peluang membangunkan diri melalui penguasaan pelbagai kemahiran relevan dengan keperluan masa depan.
Menurutnya, fokus utama perlu diberikan kepada bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Jangan heret anak muda untuk berbincang isu yang melemahkan kita. Kita perlu bangunkan kekuatan mereka, bina negara ini dan fikirkan masa depan rakyat serta anak muda kita untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Adakah kita mahu terus bergaduh soal kaum dan tafsiran atau kita mahu angkat martabat negara supaya menjadi sebahagian daripada negara maju yang mampu menangani ujian semasa,” katanya menurut Sinar Harian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
Anwar turut menekankan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak muda berkembang dengan cemerlang melalui peruntukan terbesar dalam belanjawan bagi sektor pendidikan.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan anak muda tidak terjebak isu yang memecahbelahkan dan semua pihak perlu bersama menyokong usaha kerajaan dalam membina masa depan lebih baik untuk generasi muda.