Jacquita Gonzales, isteri pramugara MH370, meninggal dunia

Jacquita Gonzales, isteri pramugara MH370, meninggal dunia

Tokoh penting perjuang usaha ahli keluarga penumpang, kru MH370, dapat jawapan, meninggal dunia pada usia 62 tahun.

Jacquita Gonzales sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha mendapatkan jawapan tentang misteri kehilangan MH370, menurut MH370 Families.
PETALING JAYA:
Jacquita Gonzales, isteri pramugara MH370 Patrick Gomes, meninggal dunia hari ini pada usia 62 tahun.

Pemergiannya diumumkan oleh laman Facebook ‘MH370 Families’ petang ini.

“Jacquita ahli Voice370 yang bertenaga dan dinamik, sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha kami, dan tokoh penting mewakili ahli keluarga (kru MH370),” menurut hantaran Facebook MH370 Families.

Kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu kekal menjadi antara misteri terbesar dalam dunia penerbangan. Pesawat itu masih belum ditemui walaupun dengan misi pencarian paling lama dan paling mahal dalam sejarah.

Pesawat itu tidak dapat dikesan pada 8 Mac 2014, 40 minit selepas berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing, membawa 239 penumpang dan kru.

Dalam temu bual dengan FMT dua tahun lepas, Gonzales berkata, penyudahan sangat penting, kerana beliau tidak dapat melepaskan suaminya dengan sempurna.

“Jika insan yang kita sayangi meninggal dunia, kita buat upacara, (sama ada) tanam atau bakar, dan abunya kita semadikan di suatu tempat yang boleh kita ziarah pada ulang tahun kematiannya, atau hari lahirnya, pasang lilin dan doa.

“Tetapi saya tak dapat (buat semua itu),” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar terus mendesak mendapatkan jawapan, bersama-sama ahli keluarga.

Usaha mencari jawapan mesti diteruskan dan penumpang dan kru MH370 tidak boleh dilupakan begitu sahaja, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.