
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kelonggaran itu mengambil kira permintaan dan keperluan semasa pengguna memerlukan, khususnya ketua isi rumah (KIR) miskin.
“Sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara setakat pertengahan April ini.
“Negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi. Langkah ini antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Maeps, Serdang.
Sementara itu, Mohamad berkata, Jemaah Menteri turut memuji KPKM dan menyifatkan kawalan harga musim perayaan tahun ini antara terbaik dalam sejarah.
“Sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal lalu, kita menyaksikan kestabilan pasaran bagi barangan keperluan utama rakyat. Harga ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal terkawal dan berpatutan, tanpa berlaku lonjakan harga membebankan pengguna.”
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Program Semarak Syawal 2025 dari 22 hingga 30 Mac lalu mencapai kejayaan dengan nilai jualan mencecah RM21.43 juta, melepasi sasaran asal RM20 juta.
Mohamad berkata, program itu membolehkan pengguna membeli barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan dan turut membantu meningkatkan pendapatan petani serta usahawan agromakanan menjelang perayaan.
Program itu dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara, termasuk pasar tani, pasar tani kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak membabitkan 9,005 usahawan tempatan.