Ejen pelancongan lapor pembatalan, permintaan ke AS tak tinggi

Ejen pelancongan lapor pembatalan, permintaan ke AS tak tinggi

Matta berkata permintaan rakyat Malaysia melancong ke AS tidak setinggi dahulu, tetapi tidak pasti sama ada disebabkan dasar Trump.

The White House
Firma penasihat ekonomi global Oxford Economics berkata dasar Presiden AS Donald Trump menimbulkan sentimen negatif dalam kalangan pelancong antarabangsa. (Gambar Rumah Putih)
PETALING JAYA:
Beberapa agensi pelancongan tempatan melaporkan pembatalan dan penurunan ketara untuk tempahan ke Amerika Syarikat (AS), menurut Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Walaupun tiada angka tepat ketika ini, Presiden Matta, Nigel Wong, mengesahkan permintaan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk melancong ke AS tidak setinggi dahulu.

Tetapi, beliau tidak pasti sama ada ini berpunca daripada dasar Presiden AS, Donald Trump kerana ia mungkin juga disebabkan faktor ekonomi.

“Apa yang saya boleh beritahu ialah permintaan untuk melancong ke AS pada dasarnya tidak setinggi dahulu, mungkin disebabkan kebimbangan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, CBC News melaporkan penurunan mendadak dalam perjalanan warga Kanada ke AS sejak Trump kembali menjadi presiden, dengan syarikat penerbangan mengurangkan kekerapan penerbangan.

Josh Yeats, jurucakap syarikat penerbangan kedua terbesar Kanada, WestJet, mengenal pasti persekitaran politik dan kadar tukaran mata wang mungkin punca di sebalik kurang permintaan dalam kalangan pelancong Kanada.

Bulan lalu, laporan Ekonomi Pelancongan menyatakan ketibaan pelancong asing di AS dijangka merosot 5.1% tahun ini berbanding unjuran peningkatan 8.8% sebelum ini.

Firma penasihat ekonomi global, Oxford Economics, berkata dasar Trump menimbulkan sentimen negatif terhadap AS dalam kalangan pelancong antarabangsa, dengan langkah keselamatan sempadan lebih ketat dan tindakan penguatkuasaan imigresen antara kebimbangan mereka.

Wong berkata, minat rakyat Malaysia melancong ke AS mungkin berkurangan disebabkan perjalanan jarak jauh, tetapi tidak banyak perubahan dalam jumlah pertanyaan mengenai AS pada pameran Matta baru-baru ini.

“AS perjalanan agak jauh bagi kebanyakan rakyat Malaysia dan ketika ini, ramai memilih destinasi biasa seperti UK atau destinasi serantau dalam Asean dan Asia.”

Mengenai prospek perjalanan ke AS, Wong menjangkakan beberapa keraguan akan berterusan sehingga keadaan ekonomi global stabil.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia, Tan Kok Liang, berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada rakyat Malaysia melupakan rancangan melancong ke AS disebabkan Trump.

“Corak perjalanan bergantung kepada segmen pasaran, jangkaan dan pengalaman pelanggan, jadi sukar untuk diramalkan ketika ini.”

Berhubung kebimbangan pembatalan visa dan pengusiran oleh pihak berkuasa AS, Wisma Putra mengesahkan tiada perubahan ke atas syarat kemasukan dan dasar imigresen untuk rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke negara itu.

Kementerian Luar Negeri juga menasihatkan rakyat Malaysia yang kini berada di AS supaya mematuhi undang-undang tempatan, peraturan imigresen dan syarat visa masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.