SKMM laksana 1,257 ujian MSQoS jalur lebar tanpa wayar, kata menteri

SKMM laksana 1,257 ujian MSQoS jalur lebar tanpa wayar, kata menteri

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu sebanyak 196 lokasi sesi pengujian adalah di Sabah.

mcmc-skmm-mcmc
SKMM akan terus melakukan pemantauan dan tidak teragak-agak menguatkuasakan undang-undang dalam memastikan penyedia perkhidmatan patuh keperluan standard liputan MSQoS sedia ada. (Gambar SKMM)
SANDAKAN:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaksanakan sebanyak 1,257 sesi pengujian standard mandatori bagi kualiti perkhidmatan (MSQoS) jalur lebar tanpa wayar di seluruh negara dalam suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata daripada jumlah itu sebanyak 196 lokasi sesi pengujian adalah di Sabah.

Beliau berkata, berdasarkan aktiviti pemantauan dan kawal selia juga, sebanyak 135 notis bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi tahun ini.

“Tempoh 2023 dan 2024, sebanyak 46 penalti dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM6.55 juta dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada MSQoS,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pengujian liputan pusat pelancongan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri SKMM Bukhari Yahya.

Beliau berkata, SKMM akan terus melakukan pemantauan dan aktiviti kawal selia serta tidak akan teragak-agak menguatkuasakan instrumen undang-undang diperuntukkan dalam memastikan penyedia perkhidmatan patuh dengan keperluan standard liputan MSQoS sedia ada.

Fahmi berkata, SKMM juga bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan.

“Semua penyedia perkhidmatan diminta memberi perhatian serius dan pantas dalam menyelesaikan aduan dikemukakan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.