
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani membidas kelompok berkenaan, mempersoalkan peranan ahli politik dan ‘peguam-peguam percuma’ ketika penduduk berurusan dengan pemaju.
Beliau menyifatkan situasi di Kampung Sungai Baru sebagai ‘nasi sudah jadi bubur’, memandangkan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula telah diwartakan, sebahagian besar penduduk telah berpindah, dan geran-geran telah diberi kepada pemaju.
“Pada ketika itu — 2018, 2019, 2020, 2021 dan pertengahan 2022 — apa yang berlaku pada masa itu? Maksudnya tidak ada pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan perkara ini dan mereka ini ada jawatan menteri dan wakil rakyat,” katanya.
Johari berkata demikian dalam audio siar Buletin TV3 malam tadi bagi mengupas isu Kampung Sungai Baru.
Beliau turut membidas kelompok yang mengelirukan masyarakat kerana tidak memahami isu tersebut.
“Sekarang banyak peguam percuma datang. Peguam percuma datang ini dah bertahun-tahun dah, satu pun tak jadi,” katanya.
“Semua Tik-Tok ni tak boleh pakai. Ini cerita nak selesaikan masalah masyarakat. Kalau nak pakai Tik-Tok, mati tak boleh selesai,” tambahnya.
Mengupas kronologi isu di situ, Johari menjelaskan bahawa pemaju tidak boleh buat projek tersebut kerana hanya 67% sahaja bersetuju dengan tawaran pemaju.
“Bila orang dah pindah 67%, dia dah tahu dah yang baki ni 33% tak setuju, dia gunakan Akta Pengambilan Tanah,” katanya.
Bagi Johari, menteri Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat berkenaan sepatutnya yakinkan penduduk yang sudah bersetuju supaya tidak berpindah selagi urusan dengan kelompok yang tidak bersetuju belum selesai.
“Dia kena cakap, ‘anda jangan pindah dulu walaupun anda dah setuju nak buat benda-benda — okay bagus — bagi saya selesaikan 33% ini’. Barulah betul.”