Dokumen tambahan Najib: Keputusan permohonan kebenaran peguam negara esok

Dokumen tambahan Najib: Keputusan permohonan kebenaran peguam negara esok

Panel tiga hakim dijadual menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi Isnin.

najib razak
Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib Razak mengenai kewujudan dokumen tambahan dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok berhubung permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan peguam negara berkaitan kewujudan dokumen tambahan dalam kes bekas perdana menteri, Najib Razak.

Panel tiga hakim, iaitu Ketua Hakim Malaya Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Hanipah Farikullah, dijadual menyampaikan keputusan pada 9 pagi.

Panel itu telah mendengar hujahan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada 24 Mac lalu berkaitan permohonan kebenaran peguam negara.

Pada 6 Jan lalu, melalui keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.

Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan tersebut.

Peguam negara selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Pemohon perlu mendapatkan kebenaran itu bagi meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Beliau menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka hendaklah melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lalu, Hakim Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi dan Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dengan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan serta Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.