
Ketua pegawai operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), berkata langkah itu memerlukan pemeriksaan amat teliti lebih-lebih lagi jika menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Dalam era digital ini, aplikasi AI menawarkan solusi yang berkuasa untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan semakan prapenerbitan.
“Bagaimanapun, kesalahan simbol pada Jalur Gemilang yang berulang menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kewaspadaan dalam penggunaan teknologi canggih bagi mengelak kesilapan penerbitan,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) terpalit isu kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam laporan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkannya.
Sebelum itu, akhbar Sin Chew Daily dikecam selepas menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depannya.
Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada layanan darjat berhubung siasatan terhadap kesilapan memaparkan Jalur Gemilang termasuk oleh agensi kerajaan.
Anwar menyambut penggunaan teknologi AI namun ia harus disusuli dengan tanggungjawab untuk mengelakkan insiden sama berulang.
Sementara itu, Muhidin menegaskan individu terlibat dalam penciptaan dan kelulusan dokumen berkaitan Jalur Gemilang mesti mempunyai tanggungjawab dan kesedaran tinggi mengenai simbol negara.
Katanya, ini termasuk pemahaman menyeluruh dan terperinci mengenai spesifikasi Jalur Gemilang yang betul.
“Sebarang penyimpangan daripada spesifikasi Jalur Gemilang bukan semata-mata kesilapan teknikal tetapi perkara yang tidak dihormati,” katanya.
Beliau juga menggesa ‘semakan dua kali secara manual dan juga semakan tiga kali oleh berbilang individu’ atau ‘proof read and visual’ diwajibkan bagi kandungan yang menampilkan bendera kebangsaan.

Dalam pada itu, Faiz Zaki dari Universiti Malaya (UM) pula berkata penggunaan AI perlu untuk meningkatkan produktiviti.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat berkata, namun AI hanya akan benar-benar membantu jika individu menggunakannya memang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidangnya.
“Jika tidak, perkara sebegini (silap papar Jalur Gemilang) akan berlaku kerana individu tersebut tiada ‘domain knowledge’. Saranan saya, kuatkan pengetahuan domain sebelum gunakan teknologi AI,” katanya.