
Bercakap pada sidang media, Wong, yang juga menteri kewangan, berkata kekuatan terbesar Singapura ialah perpaduannya merentasi kaum dan agama.
“Rakyat Singapura mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang pelbagai isu, tetapi kita tidak boleh membenarkan pelaku luar mengeksploitasi apa sahaja perbezaan yang kita ada, untuk melemahkan kita atau untuk memajukan kepentingan mereka sendiri.
“Politik Singapura mestilah (bagi) rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan. Oleh itu, kami telah menyekat akses kepada siaran itu, dan kami akan terus bertindak tegas terhadap sebarang tindakan sedemikian,” katanya menurut Berita Harian Singapura.
Wong berkata demikian sehari selepas Penguasa Pembangunan Infokom Media mengeluarkan ‘arahan pembetulan’ kepada pemilik Facebook, Meta, untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa kandungan yang digelar ‘Iklan Pilihan Raya Dalam Talian’ yang diterbitkan di media sosial itu oleh tiga warga asing semasa tempoh pilihan raya.
Tiga warga asing itu, merujuk kepada dua pemimpin PAS, iaitu Bendahari Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Selangor Mohamed Sukri Omar, dan seorang warga Australia, Zulfikar Mohamad Shariff, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura, Iskandar didapati membuat satu catatan yang menyatakan sokongan terhadap calon tertentu manakala Sukri berkongsi catatan Zulfikar.
Menurutnya, dalam catatan tersebut Zulfikar yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2016 mendakwa beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam di Singapura.
Zulfikar juga menggesa rakyat Singapura untuk mengundi atas garis perkauman dan agama, lapor Berita Harian Singapura.