
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata ia membuktikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan pihaknya berkesan dan agensi itu bukan sekadar menyiasat malah memulihkan kembali hak rakyat yang dikhianati.
Beliau berkata, siasatan dan pemulihan aset dijalankan SPRM bukan perkara mudah selain memerlukan ketekunan, kebijaksanaan, kerjasama dan kolaborasi negara lain serta penglibatan media untuk memberi liputan seimbang, berinformasi dan memberi keyakinan kepada rakyat.
“Bagi suku pertama tahun ini, SPRM mencatatkan nilai sitaan aset terbesar sebanyak RM177 juta melibatkan wang tunai dan jongkong emas yang terkait dengan siasatan terhadap bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Media SPRM malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azmi Kamaruzaman dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Azam berkata, pihaknya akan terus memperkukuh tumpuan terhadap kes rasuah berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
Katanya, siasatan agensi itu sentiasa dijalankan dengan prinsip bebas, telus serta profesional berlandaskan undang-undang dan tanpa sebarang campur tangan politik.
“Siasatan kes berprofil tinggi membuktikan SPRM bertindak tanpa takut atau pilih kasih, tidak kira individu yang terlibat adalah bekas pemimpin tertinggi negara, wakil rakyat negeri atau pengarah syarikat besar,” katanya.
Azam juga berkata, ia bagi memastikan setiap sen hasil daripada amalan rasuah dan penyelewengan dapat dikembalikan semula kepada rakyat.