
Sebanyak 18 pusat pengundian ditutup pada 6 petang tadi, kecuali di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup pada 4 petang.
Sejurus pusat pengundian ditutup, semua peti undi daripada 63 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Merdeka.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seawal 9 malam.
Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi berdaftar bagi memilih wakil rakyat baharu.
Setakat 4 petang, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 54%.
Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4% daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.