Orang asing main isu untuk keuntungan sendiri, menteri Singapura kupas catatan pemimpin PAS

Orang asing main isu untuk keuntungan sendiri, menteri Singapura kupas catatan pemimpin PAS

Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad, kata eksploitasi kaum dan agama bertentangan dengan usaha memupuk hubungan kaum.

Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad, kata Singapura harus berwaspada dengan orang asing yang main isu kaum dan agama.
PETALING JAYA:
Singapura harus berwaspada dengan orang asing yang memainkan isu kaum dan agama untuk kepentingan politik sendiri, menurut menteri kanan republik itu.

Mengulas catatan beberapa pemimpin PAS menjelang pilihan raya Singapura, Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad, berkata eksploitasi kaum dan agama bertentangan dengan usaha tiga dekad memupuk hubungan kaum.

“Selama 60 tahun kita berusaha pupuk keamanan, perpaduan, keharmonian, rasa saling mempercayai antara kaum, dan sebagai masyarakat berbilang agama di mana kita memahami dan menghormati kepercayaan satu sama lain, sudah tentu kita tidak mahu situasi di mana perkara ini dieksploitasi,” katanya lapor CNA.

Zaqy berkata ada ruang untuk isu-isu ini dibincangkan dan dibahas di Singapura.

“Tetapi apabila orang asing campur tangan, ia bukan hanya tentang memuat naik catatan tetapi meminta rakyat Singapura mengundi dalam cara tertentu kerana kepercayaan dan cara hidup mereka di luar negara, maka ia tidak sesuai dengan kita,” katanya.

Semalam, pihak berkuasa Singapura mengenal pasti tiga warga asing termasuk dua pemimpin PAS yang didakwa cuba mempengaruhi PRU negara itu yang bakal berlangsung pada 3 Mei.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura berkata pihak berkuasa mengesan beberapa catatan di media sosial oleh warga asing yang menyentuh urusan politik negara itu.

Antara warga asing itu Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar.

Menurut kenyataan, Iskandar didapati membuat satu catatan yang menyatakan sokongan terhadap calon tertentu manakala Sukri pula berkongsi catatan mendakwa beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam di Singapura.

Iskandar menegaskan beliau tidak menghasut rakyat Singapura dan catatannya “ditujukan untuk rakyat Malaysia”, lapor Berita Harian Singapura.

Sukri dalam kenyataan berkata beliau tidak pernah berniat untuk ganggu proses demokrasi di Singapura, dan catatannya ‘sebahagian tanggungjawab moral sebagai Muslim yang prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di negara itu’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.