Kenaikan elaun tugas atas panggilan dimuktamad Jun, kata Dzulkefly

Kenaikan elaun tugas atas panggilan dimuktamad Jun, kata Dzulkefly

Khamis lalu Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan mendapat 'lampu hijau' menaikkan Etap dan pengumuman lanjut akan dibuat nanti.

DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata jawatankuasa dipengerusikan bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Abu Bakar Sulaiman kini di peringkat akhir rundingan.
PETALING JAYA:
Isu kenaikan elaun tugas atas panggilan (Etap) petugas kesihatan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, jawatankuasa dipengerusikan bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Abu Bakar Sulaiman kini di peringkat akhir rundingan sebelum memuktamadkan keputusan.

“Jawatankuasa ini giat berbincang dan kini di fasa terakhir. Kita harap satu ketetapan dapat dicapai dalam tempoh terdekat,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Program Madani Afiat Peringkat Kelantan 2025 di Tunjong, Kota Bharu.

“Saya amat memahami beban tugas petugas kesihatan yang bekerja tanpa mengira masa dan berharap segala proses dapat diselesaikan selewat-lewatnya Jun.

“Penantian satu penyiksaan. Saya sendiri berharap perkara ini dapat dimuktamadkan pada Mei kerana saya tahu mereka bekerja keras. Kita sudah sampai ke penghujung perbincangan. Insya Allah, kali ini kita akan selesaikannya secara tuntas.”

Khamis lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan mendapat “lampu hijau” menaikkan Etap dan pengumuman lanjut akan dibuat nanti.

Etap merupakan imbuhan atas tanggungjawab tambahan pegawai perubatan dalam merawat pesakit semasa bertugas “on-call” di hospital selepas waktu bekerja biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.