
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata susulan kadar OPR rendah pada 1.75% semasa pandemik Covid-19, BNM mengambil pendekatan berhemat dan berperingkat untuk menaikkan kadar itu berbanding negara lain yang bertindak balas dengan kenaikan agresif bagi menangani inflasi.
“BNM juga menaikkan kadar, namun ia dinaikkan secara berhemat dan mencapai kadar agak akomodatif pada 3% yang mana selesa bagi perniagaan untuk terus beroperasi,” katanya pada Forum Kepimpinan Asean di Washington pada Jumaat.
Beliau ditanya keputusan BNM mengekalkan kadar 3% dan rangka kerja luar jangka Malaysia jika berlaku lebih banyak ketidaktentuan serta turun naik pasaran kelak.
Amir berkata, inflasi keseluruhan yang mencecah 1.8% tahun lalu susut kepada 1.4% Mac ini, menunjukkan inflasi negara terkawal.
“Kadar (OPR) berada pada 3% sekarang. Tiada tekanan untuk kerajaan pada masa ini pada kadar itu,” katanya pada sesi soal jawab dalam forum anjuran Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) itu.
“Bagaimanapun, jika keadaan menjadi sukar, adakah ada instrumen untuk dipertimbangkan? Ya, ada, tetapi kami tidak mengambil keputusan secara dahuluan.”
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM ketiga dijadual berlangsung 8 Mei ini, yang akan membuat keputusan mengenai OPR.