BN tak capai sasaran 18,000 undi kerana peratusan keluar rendah

BN tak capai sasaran 18,000 undi kerana peratusan keluar rendah

Saarani Mohamad kata sasaran berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi.

SAARANI MOHAMAD
Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad jelaskan kegagalan BN capai sasaran menang 18,000 undi pada PRK Ayer Kuning.
TAPAH:
Barisan Nasional (BN) gagal capai sasaran 18,000 undi pada PRK Ayer Kuning lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad menjelaskan sasaran raih sekurang-kurangnya 18,000 undi itu berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi.

“Jadi kalau 75% maknanya 24,000 keluar mengundi. Kalau Perikatan Nasional kekal dapat undi sekitar 6,000 undi, 18,000 undi itu kita punya. Itulah asalnya sasaran awal,” katanya pada sidang media selepas keputusan diumumkan.

Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih kali ini, manakala peratusan keluar mengundi mencapai 58.07%, berbanding 74.85% pada PRU 2022.

BN mempertahankan DUN Ayer Kuning dengan 11,065 undi, berbanding PN dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing 6,059 dan 1,106 undi.

“Alhamdullah kita menang, satu undi pun menang,” kata Saarani.

Meskipun gagal capai sasaran, BN sekali lagi mempertahankan Ayer Kuning dengan kelebihan 5,006 undi, mengatasi 2,213 undi pada PRU 2022.

Dalam pada itu, 10 daripada 11 pusat daerah mengundi yang tumpas kepada pembangkang kembali kepada BN, menurut Pengerusi BN Zahid Hamidi.

Mengulas kemenangan hari ini, Saarani berkata BN menang kerana sokongan semua kaum.

“Ia menggambarkan bagaimana pengundi Ayer Kuning ini cintakan perdamaian, tidak suka kepada provokasi, tidak suka cari gaduh, dan mereka menolak sesiapa juga buat fitnah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.