
Raja Zarith Sofiah menulis di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa beliau dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai ramai sahabat dari pelbagai bangsa.
Nukilan tersebut ditulis pada 2018 susulan rusuhan yang berlaku di satu tapak kuil di Subang Jaya. Ia merakamkan kesedihan Raja Zarith Sofiah dan keluarga atas peristiwa itu.
“Tetapi, buat masa ini, kerana berlakunya ketegangan melibatkan kaum India di Malaysia, saya mencoret naskah pendek ini untuk menunjukkan bagaimana kami sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat-empat orang ini. Ribuan terima kasih dari keluarga saya kepada mereka,” katanya.
Empat individu itu adalah Subramanyam Balan dan Singaraveloo yang merupakan doktor bagi keluarganya; bekas adikung kepada Sultan Johor, Sugumaran; dan Mohan, seorang pegawai istana “yang sentiasa membantu di saat memerlukan”.
“Tiga tahun lalu, pada 5 Disember, anakanda saya, Jalil (Tunku Abdul Jalil), mangkat. Kami sekeluarga berasa amat sedih dengan kehilangan anakanda yang kami kasihi. Tahun ini, kami masih merasa dukacita ditambahi pula dengan kesedihan kerana berlakunya sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum.

“Dengan rusuhan yang berlaku di tapak kuil India di Subang Jaya baru-baru ini, di mana seorang ahli bomba Melayu cedera dengan serius dan ketegangan kaum yang meletus selepas itu, saya terfikir mengenai rakan kenalan dan kakitangan bangsa India yang sering berada dalam kehidupan seharian kami sekeluarga,” katanya ketika itu.
Hari ini, Raja Zarith Sofiah menulis Malaysia masih bertuah menikmati keamanan tatkala banyak tempat di serata dunia menghadapi konflik dan peperangan.
“Kita seharusnya bersyukur atas nikmat ini. Mungkin kerana kita tidak bertarung nyawa mengelakkan diri dari bom, ada dalam kalangan kita yang sengaja mengapi-apikan isu sehingga menegangkan perhubungan etnik berbeza di negara kita,” katanya.
Raja Zarith Sofiah berdoa semoga Allah melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta perasaan kasih sayang di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia.