
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata umum mengetahui pertembungan dalaman antara ‘kem timbalan’ dan ‘kem setiausaha agung’, merujuk Hamzah Zainudin serta Azmin Ali selain isu terpalit pimpinan peringkat negeri.
Beliau mengambil contoh isu pertukaran kerusi di DUN Perak yang didakwa membabitkan Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu yang juga naib presiden dengan Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin.
Katanya, perpecahan itu perlu diatasi jika Bersatu mahu berdepan PRU16 antaranya melakukan peralihan saf pimpinannya sekali lagi selepas berbuat demikian pada pemilihan November lalu.

Menurutnya, peralihan itu mungkin membabitkan Presiden Muhyiddin Yassin yang pernah mengumumkan mahu melepaskan jawatan pada 2023 sebelum membuat pusingan U.
“Jika Muhyiddin terus menerajui parti mungkin kedua-dua kem ini akan terus bersaing dan bergolak sekali gus menyukarkan usaha parti untuk ‘bersatu’ sebelum PRU16,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Saifuddin Abdullah bahawa parti itu mempunyai susunan pimpinan cantik sekali gus menunjukkan kesediaannya berdepan PRU16 yang perlu diadakan selewat-lewatnya dua tahun lagi.
Muhyiddin dalam temu bual dengan FMT November lalu menolak kebimbangan wujud isu ‘kartel’ merujuk perpecahan Bersatu kepada beberapa kumpulan bagi menguasai jawatan.
Bekas perdana menteri itu menyatakan setiap pemimpin dan ahli dalam Bersatu ‘bertaut semula’ selepas pemilihan berakhir.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpandangan saf kepimpinan baharu Bersatu perlu menguji ‘keupayaannya’ dengan berdepan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS terlebih dahulu, sebelum menghadapi PRU16.
“Belum sampai lagi (masih tidak mampu) tetapi paling penting bagaimana untuk berdepan PAS kerana Bersatu dilihat terlalu lemah berbanding PAS dalam PN.
“Barisan cantik itu terlampau jauh untuk pergi ke PRU16, sebaiknya diselesaikan dulu isu dalaman yang begitu banyak.”