
Presiden Bersatu itu dibenarkan Hakim Azura Alwi untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu bermula hari ini sehingga 20 Mei depan, menurut Harian Metro.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat tidak membantah permohonan Muhyiddin yang diwakili peguam Kee Wei Lon itu.
Pasport terbabit erada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan selepas beliau didakwa dengan pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan Projek Jana Wibawa dan menerima hasil daripada aktiviti haram.
Sebelum ini, Muhyiddin, 77, didakwa dengan empat tuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Muhyiddin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023 atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.