JPA digesa batal tangguh pelaksanaan cuti tambahan bomba

JPA digesa batal tangguh pelaksanaan cuti tambahan bomba

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata penangguhan itu mengecewakan dan menjejaskan semangat anggota bomba.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata berkata syif kerja 12 jam tanpa waktu rehat sempurna, selain perlu sentiasa bersiap siaga selepas tamat syif, memberi tekanan fizikal dan mental berat kepada anggota bomba.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal terhadap penangguhan pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) bagi anggota bomba yang sepatutnya bermula 1 Mei ini.

Mendesak penangguhan itu ditarik balik, Presiden Cuepacs, Adnan Mat menyifatkan keputusan itu bukan saja mengecewakan, malah menjejaskan semangat anggota yang lama mengharapkan penambahbaikan sistem kerja.

“Anggota bomba masih terikat dengan waktu bekerja 60 jam seminggu berbanding 45 jam seperti yang ditetapkan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Beban ini jelas tidak adil dan menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata syif kerja 12 jam tanpa waktu rehat sempurna, ditambah keperluan sentiasa bersiap siaga walaupun selepas tamat syif, memberi tekanan fizikal dan mental berat kepada anggota bomba.

Lebih membebankan, katanya, elaun bayaran insentif bomba sebanyak RM110 sebulan jika dikira secara purata, hanya bersamaan RM1.38 sejam, jauh lebih rendah berbanding risiko dan komitmen kerja mereka.

Tegasnya, pelaksanaan HRM tidak melibatkan sebarang penambahan peruntukan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya hanya melibatkan penambahbaikan sistem pengurusan sumber manusia lebih efisien dan berperikemanusiaan.

“Cuepacs menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membatalkan penangguhan ini dan menyegerakan pelaksanaan HRM kepada anggota bomba sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Anggota bomba adalah barisan hadapan dalam menghadapi situasi kecemasan mengancam nyawa dan harta benda rakyat. Sudah tiba masanya kebajikan mereka diberi perhatian serius setimpal pengorbanan mereka.”

Terdahulu, FMT melaporkan anggota bomba kecewa dengan penangguhan HRM yang sepatutnya bermula 1 Mei ini bagi membolehkan JPA menyelaras dan menambah baik pelaksanaannya.

Mengikut pengumuman sebelum ini, setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas syif 12 jam.

Sebelum ini, anggota bomba tiada hari rehat mingguan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.