Izzah nafi lapor pempengaruh kepada SKMM

Izzah nafi lapor pempengaruh kepada SKMM

Pempengaruh media sosial Aliff Ahmad mendakwa menerima notis SKMM untuk hadir ke ibu pejabat di Cyberjaya bagi soal siasat berkait satu hantaran di media sosial.

nurul izzah
Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau tidak mengenali Aliff Ahmad secara peribadi dan tidak pernah berinteraksi dengannya.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan beliau atau pegawainya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad.

Izzah berkata, beliau tidak mengenali Aliff secara peribadi dan tidak pernah berinteraksi dengannya.

Beliau bagaimanapun berpendirian tidak wajar seseorang disiasat hanya kerana mencabar atau membuat kenyataan terhadap dirinya.

“Saya ingin menegaskan saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada SKMM terhadap saudara Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Aliff yang juga pengasas bersama sistem ‘Scrut Analytica’ mendakwa menerima notis SKMM untuk hadir ke ibu pejabatnya di Cyberjaya bagi soal siasat berhubung satu hantaran di media sosial.

Hantaran itu menawarkan untuk menyiasat latar belakang Izzah jika mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.

Aliff dalam hantaran Facebooknya berkata, beliau tidak dapat hadir pada waktu ditetapkan dan meminta SKMM mendapatkan waran tangkap, jika perlu.

Pempengaruh itu dilaporkan hadir ke ibu pejabat SKMM pagi tadi untuk dirakam percakapan.

Izzah turut menasihatkan semua pihak berhati-hati membuat tuduhan boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti individu tanpa asas kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.