
Beliau berkata, dua set tren jenis Electric Multiple Unit (EMU) itu kini sedang menjalani ujian teknikal termasuk ujian dinamik dan ‘fault free run’.
“Sekiranya semua ujian ini berjalan lancar, tren-tren tersebut dijangka mula beroperasi menjelang Ogos tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, baki lapan set tren lagi sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) di Batu Gajah.
“Semua sepuluh set dijadualkan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan, seterusnya memperkukuh kapasiti perkhidmatan rel negara,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata kilang pemasangan CRRC di Batu Gajah kini mempunyai lebih 85% tenaga kerja tempatan, sekaligus mencerminkan potensi besar dalam pemindahan pengetahuan dan kepakaran kepada bakat tempatan.
“Komposisi tenaga kerja yang tinggi ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri rel nasional, tetapi juga meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi hab kejuruteraan rel serantau pada masa hadapan,” katanya.