
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata rampasan itu dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang, dengan sindiket menyimpan bunga ganja di rumah sewa atau rumah inap.
“Siri serbuan di sekitar Lembah Klang membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan dan warga China masing-masing berusia 34 dan 38 tahun.
“Serbuan ke atas sebuah rumah sewa di Bukit Changgang, Banting, kelmarin menemukan 144 bungkusan plastik lutsinar disyaki bunga ganja,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semua suspek diberkas di dua kawasan berasingan di Sepang.
Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek berkenaan adalah dalang utama pengedaran dadah ke Eropah.
“Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket ini dipercayai aktif sejak awal Januari 2025.”
Mat Zani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Katanya, polis sedang mengesan saki baki sindiket masih bebas bagi melumpuhkan rangkaian itu sepenuhnya.
Beliau berkata, kejayaan rampasan itu membuktikan keberkesanan risikan berterusan JSJN dalam mengekang kegiatan pengedaran dadah yang menjadi musuh utama negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline JSJN di talian 012-208 7222.