
Zaliha berkata, pihaknya akan menghantar notis dalaman kepada tiga bahagian itu.
“Ya, hanya di beberapa peringkat sahaja. Itu nanti saya akan berikan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Zaliha mengulas spekulasi akan berlaku pemilihan semula di Selayang, Jempol dan Silam atas pelbagai alasan dikemukakan kebanyakan calon kalah baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kekalahan beberapa nama besar pada pemilihan bahagian sah atau tidak, Zaliha berkata pihaknya menerima beberapa aduan dan ia akan diteliti Jawatankuasa Aduan dan Bantahan dipengerusikan Ahmad Kassim.
“Belum ada keputusan muktamad. Keputusan JPP belum muktamadkan untuk kita menyenaraikan kemenangan pada mereka bertanding,” katanya.
Antara nama besar yang kalah pada pemilihan adalah Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Adam Adli dan Pengarah Strategi Akmal Nasrullah Nasir.
Mengenai pemilihan didakwa tidak tepat dan wujud keputusan pelik, Zaliha mempertahankan sistem ‘blockchain’ yang digunakan, menyatakan ia jauh lebih baik daripada pemilihan lalu.
“Sistem blockchain ini kalis penipuan, kalau ada sedikit-sebanyak itu, maknanya dalam proses untuk kita melengkapkan sistem itu.
“Selepas kita mendengar daripada pembangun sistem dan auditor yang melihat dari semua sudut, saya kira sistem kita gunakan sekarang jauh lebih baik dari sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, jumlah aduan diterima kali ini jauh lebih rendah berbanding pemilihan lalu, sambil memaklumkan isu itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), semalam.
“Ada keputusan dasar dibuat (dalam mesyuarat semalam). Kita sebagai JPP mengambil keputusan itu untuk tindakan seterusnya,” katanya.