Santuni aduan Orang Asli sebelum buat kesimpulan, MB Perak diberitahu

Santuni aduan Orang Asli sebelum buat kesimpulan, MB Perak diberitahu

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam persoal bagaimana menteri besar boleh buat kesimpulan awal tiada pencerobohan tanah adat Orang asli tanpa melawat.

MB PERAK SAARANI MOHAMAD
Sabtu lalu Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menafikan dakwaan sebuah syarikat kuari menceroboh tanah warisan Orang Asli di Bidor.
PETALING JAYA:
NGO alam sekitar menggesa Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berjumpa Orang Asli di Chang Lama, Bidor, bagi mendapatkan maklumat sebenar berbanding hanya menerima laporan daripada agensi kerajaan.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, Saarani membuat kesimpulan awal tiada pencerobohan berlaku tanpa turun ke lapangan dan berjumpa masyarakat Orang Asli yang terlibat.

“Ini merupakan kenyataan kosong daripada beliau bahawa tiada pencerobohan berlaku. Bolehkah beliau butikan Orang Asli di Chang Lama pernah dirujuk atau persetujuan daripada mereka telah diperoleh?” kata Presiden Peka N Rajesh dalam kenyataan.

Sabtu lalu, Saarani menafikan dakwaan sebuah syarikat kuari menceroboh tanah warisan Orang Asli di Bidor.

Saarani berkata, beliau sudah merujuk Pejabat Tanah dan Galian Perak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubung perkara itu, dan dimaklumkan ia tidak benar.

Perkembangan itu susulan dakwaan komuniti Orang Asli di Kampung Chang Lama bahawa syarikat kuari Siong Emas Sdn Bhd telah menceroboh tanah warisan mereka.

Ketua Kampung, Dahil Yok Chopil, mendakwa syarikat itu melanggar deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai hak masyarakat peribumi kerana tidak mendapatkan persetujuan Orang Asli.

Justeru, Peka menuntut siasatan menyeluruh dijalankan ke atas Jakoa berhubung penganugerahan hak milik tanah Orang Asli itu kepada syarikat kuari berkenaan.

“Kami tidak akan berundur dan akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar demi menegakkan hak komuniti Orang Asli,” kata Rajesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.