
Permohonan maaf yang dibuat di Mahkamah Sesyen menjadi sebahagian daripada penghakiman persetujuan, di mana Fauzi turut bersetuju membayar Rayer RM10,000 sebagai kos guaman.
Ketika ceramah ‘PN Best’ di Balik Pulau pada 2 Jun 2023, Fauzi menuduh Rayer sebagai perkauman, sombong, dan tidak bertanggungjawab.
Beliau juga mendakwa Rayer memberitahu kepada mangsa kebakaran di Jelutong, bahawa beliau tidak kisah kehilangan undi orang Melayu dan India.
Dalam permohonan maaf berkenaan, Fauzi berkata, kenyataan tersebut tanpa menyemak semula dengan penduduk dan orang ramai tentang kesahihan dan ketepatan maklumat disampaikan.
Beliau juga berkata, dirinya terkhilaf kerana mengambil maklumat lisan daripada beberapa orang yang pada ketika itu berada dalam ‘keadaan beremosi’.
“Oleh yang demikian, untuk tidak memanjangkan perkara ini dan untuk membolehkan pihak-pihak menumpukan kepada perkara yang lebih penting iaitu membangunkan negara dan memastikan kebajikan rakyat khususnya di Pulau Pinang terjaga dalam kapasiti masing-masing, saya dengan ini membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada YB RSN Rayer,” katanya.
Fauzi, yang juga ketua pembangkang negeri, turut menarik balik kenyataan dibuat pada ceramah berkenaan.
Permohonan maaf itu direkodkan sebagai sebahagian penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Helmi Ghani.
Sebagai sebahagian daripada syarat penyelesaian, Fauzi akan membayar Rayer kos RM10,000: RM5,000 sebelum 24 Mei, dan baki RM5,000 sebelum 24 Jun.
Peguam K Simon Murali dan Kok Yuen Lin mewakili Rayer, manakala Fauzi diwakili Yusfarizal Yusoff.
Dalam pernyataan tuntutan, Rayer berkata kenyataan Fauzi tidak berasas dan menjejaskan reputasinya.
Beliau menuntut ganti rugi dan permohonan maaf terbuka, termasuk dibuat di platform media sosial.