
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata perkara itu diputuskan panel hakim Mahkamah Rayuan pada prosiding pengurusan kes terbabit hari ini, lapor Berita Harian.
Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan dana RM120,000.
Bagi pertuduhan pecah amanah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan rotan ke atasnya.
Beliau turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu lagi sebatan bagi kesalahan penyelewengan dana, serta tambahan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan pengubahan wang haram.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pecah amanah dan penyelewengan dana dijalankan secara berasingan, manakala hukuman bagi kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Akibatnya, Syed Saddiq perlu menjalani hukuman penjara selama lima tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan bekas presiden Muda itu.
Rayuannya didengar tiga panel hakim iaitu Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.
Sekiranya rayuan itu berjaya, Syed Saddiq akan dibebaskan, walaupun pihak pendakwaan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
Jika ditolak, beliau akan mempunyai satu peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.