
Hamzah berkata dua parti itu akan mempunyai majoriti besar sekiranya bergabung sekali gus membolehkan agenda memperjuangkan isu rakyat semakin mudah.
“Persoalan pengundi sangat mudah, ia melambangkan seolah-olah Umno yang hanya ada sembilan kerusi, bukan lagi majoriti. Jadi jika bawa dalam mesyuarat exco, dia (Umno) tak ada kuasa menentukan sesuatu.
“Inilah yang berlaku. Tetapi kalau Umno bergabung dengan kita (PN), kuasanya besar, akan ada 35 kerusi. Ia adalah majoriti besar dan kita boleh aturkan mengikut agenda betul,” katanya pada sidang media selepas kempen calon PN Abd Muhaimin Malek.
Hamzah berkata, kerjasama PN-BN bakal diterima baik pengundi dan membentuk gabungan kuat serta mampu bertahan dalam jangka panjang kerana penyokong Umno kini tidak bersetuju kerjasama dengan DAP.
“Apa sahaja kemahuan rakyat, boleh sama-sama kita perjuangkan dan inilah yang sepatutnya diambil kira Saarani (Menteri Besar Perak Saarani Mohamad),” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah isu ladang babi yang dibangkitkan PN akan memberi kesan kepada sokongan bukan Melayu, Hamzah mengakui boleh menjejaskan sokongan kepada gabungan itu.
Bagaimanapun, Hamzah berkata isu tersebut sebenarnya isu tempatan dan terpaksa dibangkitkan PN selepas mendengar rintihan majoriti penduduk di Ayer Kuning.
“Betul, (isu ladang babi memberi kesan) tetapi itulah isu tempatan yang sebenarnya kerana terlalu banyak kandang babi dalam kawasan ini.
“Isu ini juga sudah ditolak menteri besar (Saarani Mohamad) seolah-oleh tidak sepatutnya dibawa dalam pilihan raya. Jadi kita orang Melayu merasakan mengapa isu sebegitu rupa diambil mudah beliau,” katanya.
Semalam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendesak kerajaan negeri menjawab pendedahan kewujudan ladang babi di Kampung Poh, terletak kurang 5km dari kawasan PRK yang menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor.
Katanya, pencemaran itu menjejaskan sumber air dan berisiko kepada masalah kesihatan penduduk.