
Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau akan memberikan kenyataan lengkap mengenai perkara itu dalam Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei ini, lapor Bernama.
Katanya, semakan semula KDNK oleh IMF itu bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk negara lain.
“Itu adalah semakan di peringkat antarabangsa bagi dunia, Amerika Syarikat, China dan kebanyakan negara, ia sedikit menurun.
“Kami (kerajaan), BNM, dan Perbendaharaan kini akan meneliti semula dan menyemak serta mengumumkan (maklum balas kami),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Kastam di sini, hari ini.
Semalam, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar bagi Malaysia kepada 4.1% tahun ini daripada anggaran 4.7% pada Januari, seiring dengan penurunan unjuran serantau.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk ‘A Critical Juncture amid Policy Shifts’, IMF juga mengunjurkan KDNK sebenar Malaysia berkembang sebanyak 3.8% pada 2026.
IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan globalnya bagi 2025 kepada 2.8% turun 0.5 mata peratus daripada unjuran pada Januari.