
Semua tertuduh, D Sasveena, 31, suaminya; T Boharaj, 32, adik tiri, Farhin Muhamad Ariffin, 23, serta dua adik kandung, P K Koshenn Kumar, 21 dan P K Siveeshinaa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, lapor Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menculik remaja terbabit dengan cara melarikan mangsa bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta.
Perbuatan dilakukan kira-kira 5.45 petang di hadapan sebuah salun dekat Jalan S2 B10, Uptown Avenue, Seremban 2, di sini, pada 10 April lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan dengan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan jenayah dilakukan serius serta membabitkan keselamatan mangsa.
Menurutnya, sekiranya jaminan diberikan, terdapat risiko kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa dan keluarga serta saksi pendakwaan lain, selain melarikan diri.
Peguam T Harpal Singh yang mewakili tertuduh pula memohon tempoh dua minggu untuk beliau memfailkan hujahan mitigasi rayuan jaminan secara bertulis.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mei ini.
Media sebelum ini melaporkan salah seorang suspek dipercayai terbabit kes itu ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.