
Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah di Malaysia tidak terikat dengan perintah perlindungan yang dikeluarkan pada 29 Julai 2019 oleh mahkamah daerah timur New York yang membicarakan dan mensabitkan Ng atas kesalahan rasuah.
“Mahkamah ini tidak boleh menunggu perubahan dibuat (kepada perintah perlindungan).
“Ini adalah kes kepentingan awam yang telah berlarutan terlalu lama,” tambahnya.
Awal hari ini, mahkamah diberitahu bahawa perintah perlindungan Ng menghalangnya daripada ditemu bual dan memberi keterangan.
Peguam Ng, Tan Hock Chuan, berkata perintah perlindungan itu kekal berkuat kuasa walaupun hakikatnya kes terhadap Ng di New York selesai pada 2023. Beliau menambah bahawa rayuan Ng sedang menunggu keputusan.
“Peguam Amerika yang mengendalikan perbicaraannya telah menasihatkan kami bahawa dia akan terdedah kepada liabiliti jenayah jika dia memberi keterangan di sini.
“Sekatan jenayah boleh diambil dan apa sahaja yang dia katakan di sini boleh digunakan terhadapnya untuk rayuan,” kata Tan.
Peguam itu berkata rakan sejawatannya dari Amerika berhasrat memfailkan usul untuk mengubah perintah perlindungan bagi membolehkan Ng memberi keterangan dalam pembelaan Najib.
Bagaimanapun peguam Najib Shafee Abdullah berkata perintah perlindungan itu tidak meliputi dokumen dan eksibit yang dikemukakan dalam kes rasuah Ng atau perkara yang mungkin beliau ingat daripada pengalaman peribadinya sebelum tarikh perintah itu.
Shafee menambah bahawa di bawah 132(2) Akta Keterangan 1950, tiada jawapan yang mana saksi akan dipaksa oleh mahkamah untuk memberikannya boleh menyebabkan dia ditangkap atau didakwa, kecuali keterangan yang diberikan adalah palsu.