
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 69 tahun itu dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Antara Gapi kira-kira 5 petang, selepas menerima maklumat orang awam.
“Pemeriksaan lanjut menemukan tiga senjata api, empat senjata jenis Airsoft, satu ‘taser gun’, senapang jenis cal 22/5.5M dan 162 peluru,” katanya.
Hussein menambah, polis mendapati tiada sebarang rekod penerimaan darjah kebesaran atau anugerah berkaitan kerabat diraja Perak.
Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu direman enam hari hingga 27 April mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 36 dan 8(a) Akta Senjata 1960; serta Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016.
“Polis sedang mengesan individu didakwa kenalan yang membekalkan senjata api itu,” kata Hussein.
Sementara itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki dipercayai orang suruhan ‘ah long’ dari Singapura, sekaligus menyelesaikan empat kes khianat dengan api dan simbah cat di Selangor.
Hussein berkata, dua suspek itu ditahan hasil serbuan pada 8 dan 9 April lepas, susulan laporan insiden kebakaran membabitkan bahagian depan sebuah rumah dihuni lelaki berusia 29 tahun di Ampang, bulan lepas.
Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua telefon bimbit, dua kad bank, tiga beg sisa kebakaran dan sehelai kertas nota ugutan.
“Siasatan dijalankan mendapati suspek saling mengenali menerusi laman sosial sejak Januari lepas,” kata Hussein.
“Mereka dikatakan menerima upah sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi perbuatan khianat dengan api, manakala RM600 hingga RM900 bagi khianat simbah cat daripada sindiket tersebut.”
Hussein berkata, semakan telefon bimbit kedua-dua suspek mendapati terdapat tujuh lagi kejadian khianat di Johor, Perak dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, berhubung kes samun taska di Sabak Bernam Isnin lepas, Hussein berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30an telah ditahan.
Katanya, suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau kes dadah dan samun.