Pemilihan pucuk pimpinan PKR guna sistem ‘proportional representation’, kata Fuziah

Pemilihan pucuk pimpinan PKR guna sistem ‘proportional representation’, kata Fuziah

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata konsep itu diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Dis lalu.

kongres pkr
Kira-kira 10,000 perwakilan dijangka hadir dan mengundi secara fizikal manakala lebih 20,000 akan mengundi di atas talian pada Kongres Nasional PKR tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilihan pucuk pimpinan PKR yang dijadualkan bulan depan akan mengguna pakai sistem ‘proportional representation’, kata Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh.

Beliau berkata konsep itu adalah seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Dis lalu.

Fuziah sebelum ini menjelaskan bahawa sistem baharu itu akan mengambil kira saiz setiap bahagian dalam menentukan perwakilan, dengan kuota ditetapkan untuk wanita dan kumpulan etnik berdasarkan demografi pemilih.

Perwakilan tambahan pula akan diperuntukkan kepada bahagian yang mempunyai lebih daripada 3,000 ahli bagi memastikan keadilan.

Dalam satu kenyataan, Fuziah berkata, seramai 10,000 perwakilan dijangka hadir dan mengundi secara fizikal manakala lebih 20,000 lagi akan mengundi secara dalam talian.

Menurutnya lagi, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini telah berjalan dengan baik dengan semangat ‘comradeship’ dan setiakawan yang tinggi dalam kalangan ahli MPP.

“Beberapa perkara berhubung isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 dan Kongres Nasional 2025 telah dibincangkan.

“MPP mengesahkan berkaitan Kongres Nasional 2025 yang akan berlangsung di Johor Bharu pada 23, 24 dan 25 Mei ini. 23 Mei ini ialah tarikh Kongres Pemuda PKR dan Wanita Nasional,” katanya.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengadakan mesyuaratnya petang tadi yang turut dihadiri presidennya, Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Fuziah berkata MPP memutuskan bahawa sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal dari kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian di Sabah dan Sarawak boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, ini adalah bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi fizikal untuk mengundi serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di Pusat Satelit.

“Senarai Perwakilan dari kalangan AJK bahagian dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres Nasional akan diumum kemudian,” katanya.

Menurut Fuziah lagi, persiapan Kongres Nasional 2025 sedang berjalan lancar dan semua para perwakilan yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.