Pemilihan PKR: Akmal pertahan dapat 949 undi, akan buat bantahan rasmi

Pemilihan PKR: Akmal pertahan dapat 949 undi, akan buat bantahan rasmi

Keputusan rasmi menunjukkan Akmal Nasrullah Nasir hanya dapat 587 undi dan gagal pertahan ketua PKR Johor Bahru.

akmal nasir
Akmal Nasrullah Nasir dakwa keputusan PKR Johor Bahru turut menyaksikan fenomena ‘badan tanpa kepala’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Nasir mempertahankan 949 undi didakwa diterima pada pemilihan parti minggu lalu yang sepatutnya melayakkan menang jawatan ketua PKR Johor Bahru.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan aduan rasmi terhadap keputusan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang menunjukkan beliau gagal mempertahankan jawatan disandang sejak 2014.

JPP mengumumkan Akmal yang menerima 587 undi kalah kepada pencabarnya Mohamad Taufiq Ismail yang memperoleh 709 undi. Taufiq adalah ketua Pemuda PKR Johor.

Timbalan menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, ketua operasi pengundian pasukannya dikenali Stanley telah membuat akuan bersumpah bagi mempertahankan angka minimum 949 undi berdasarkan bukti pengundian.

“Angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan tempat mengundi, senarai pengundi beserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar.

“Saya akan mengemukakan bantahan rasmi kepada JPP. Oleh itu dipohon supaya semua kekal bertenang,” katanya di X.

Akmal turut mendakwa menjadi mangsa fenomena ‘badan tanpa kepala’ apabila beliau tewas manakala 10 daripada pasukannya menang bagi pemilihan ahli jawatankuasa.

“Kejadian ajaib juga berlaku untuk Pemuda iaitu hanya ketua ‘dipenggal’ manakala timbalan sehingga semua AJK menang.

“Sayap Wanita pula jawatan ketua dan timbalan diganggu sedangkan naib serta AJK pasukan Akmal Nasir menang,” katanya.

Difahamkan, pimpunan PKR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini membincangkan keputusan pemilihan di peringkat bahagian yang dipertikai ramai.

Pemilihan di peringkat pusat akan berlangsung 24 Mei depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.