‘Bomba juga manusia’, JPA digesa batal tangguh cuti tambahan

‘Bomba juga manusia’, JPA digesa batal tangguh cuti tambahan

Anggota bomba terkilan selepas sekian lama berkhidmat dengan cuti rehat begitu terhad.

Mengikut pengumuman sebelum ini setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan pada setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas secara syif 12 jam.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa menyegerakan penyelarasan dan penambahbaikan sekali gus membatalkan penangguhan pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) anggota bomba.

Seorang anggota enggan dinamakan berkata, ramai rakan sekerjanya terkilan selepas sekian lama mereka berkhidmat dengan cuti rehat yang begitu terhad.

“Ramai kecewa dengan penangguhan itu sebab ia amat membantu kami dari segi mendapatkan rehat yang cukup, terutama kami yang bekerja syif 12 atau 24 jam.

“Jika dapat HRM, kami boleh menjimatkan penggunaan cuti tahunan untuk pelbagai kegunaan terutama melibatkan keperluan keluarga,” katanya kepada FMT.

Anggota berkhidmat di balai di Selangor itu berkata, cuti tambahan diumumkan Januari lalu menaikkan semangat untuk bekerja lebih keras, demi memastikan orang ramai hidup selesa dan selamat.

Terdahulu, FMT melaporkan pelaksanaan HRM untuk warga bomba yang sepatutnya bermula 1 Mei ini ditangguhkan sekali gus mengakibatkan kekecewaan dalam kalangan anggota.

Merujuk surat pekeliling ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Nor Hisham Mohamad, penangguhan dibuat bagi membolehkan JPA menyelaras dan menambah baik pelaksanaannya.

Mengikut pengumuman sebelum ini, setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan pada setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas secara syif 12 jam.

Sebelum ini anggota bomba tidak mempunyai hari rehat mingguan.

Sementara itu, seorang lagi anggota bomba enggan dikenali berkata berkhidmat untuk negara adalah keutamaan, namun mereka juga manusia yang perlukan cuti rehat mencukupi kerana tugas harian semakin mencabar.

“Tugas kami mencabar setiap hari, kami perlukan rehat yang cukup,” katanya yang bertugas di Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.