Kajian: Potensi ekonomi RM208 bilion didik kanak-kanak bukan warganegara

Kajian: Potensi ekonomi RM208 bilion didik kanak-kanak bukan warganegara

Kajian Unicef-SWRC menyatakan, kumpulan besar kanak-kanak ini suatu peluang ekonomi yang terlepas, terutamanya apabila populasi negara semakin menua.

stateless kids
Kajian Unicef-SWRC baru-baru ini mendapati 290,437 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia tanpa kewarganegaraan pada 2016 boleh jana sehingga RM208 bilion sepanjang hayat jika diberi pendidikan formal dan kekal bekerja hingga usia 65 tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Langkah menyediakan pendidikan, kemudian pekerjaan yang sewajarnya bagi kanak-kanak bukan warganegara yang dilahirkan di Malaysia boleh menjana sumbangan ekonomi sehingga RM208 bilion, menurut satu kajian baru-baru ini.

Kajian bersama oleh Unicef ​​Malaysia dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya menganggarkan 290,437 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia tanpa kewarganegaraan pada 2016 boleh menjana sehingga RM208 bilion sepanjang hayat mereka jika diberi pendidikan formal dan kekal bekerja sehingga bersara pada usia 65 tahun.

Menurut kajian itu, jumlah itu bersamaan 9.47% daripada anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak RM2.2 trilion bagi 2025, seperti yang dilaporkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Oktober lepas.

Kajian bertajuk ‘Wasted Potential: The Economic Case for Educating Non-Citizen Children Born in Malaysia in an Aging Nation’ juga mendapati hanya 10,076 kanak-kanak bukan warganegara mendaftar di sekolah awam pada 2023.

Kajian itu mentakrifkan kanak-kanak bukan warganegara sebagai kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini tanpa kewarganegaraan Malaysia disebabkan undang-undang kewarganegaraan jus sanguinis (melalui kerakyatan ibu bapa sahaja); kanak-kanak pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR); kanak-kanak tidak bernegara; dan anak pekerja migran atau tanpa dokumen.

Menyebut bahawa kanak-kanak bukan warganegara yang dilahirkan di Malaysia mewakili kumpulan yang besar dan suatu peluang ekonomi yang terlepas, kajian itu berkata, ini amat penting memandangkan tenaga kerja negara diunjurkan menyusut berikutan populasi yang menua.

Peratusan rakyat berusia 65 tahun ke atas diunjurkan meningkat daripada 8.1% pada 2024 kepada 14.5% menjelang 2040.

Kajian itu juga menyatakan, tindakan mengecualikan kanak-kanak bukan warganegara yang dilahirkan di Malaysia daripada pendidikan awam, penjagaan kesihatan, dan pekerjaan formal memaksa mereka bekerja dengan gaji Yang rendah dalam sektor tidak formal pada usia muda, yang boleh menjerat mereka dalam kemiskinan.

Pengarang utama kajian itu, Amjad Rabi memberitahu FMT, Malaysia telah lama mengabaikan potensi sumbangan kumpulan minoriti dalam tenaga kerja negara.

“Walaupun pada anggaran terendah kami, kumpulan kanak-kanak bukan warganegara boleh menjana RM87 bilion, iaitu 4% daripada anggaran KDNK 2025 (oleh IMF). Itu bukan jumlah yang kecil.

“Hanya pendidikan mampu membawa kita ke sana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.