
Nama Zabariah dimasukkan dalam senarai kemas kini sembilan ahli suruhanjaya itu yang disiarkan di laman sesawang SPK.
Pelantikannya dibuat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 5(1)(e) Akta SPK.
Zabariah berusia 66 tahun – umur persaraan wajib hakim – pada 10 April lalu. Namun, beliau diberikan lanjutan enam bulan untuk kekal dalam jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli kini menganggotai SPK kerana mereka memegang empat jawatan pentadbiran tertinggi dalam badan kehakiman.
Tahun lalu, perdana menteri melantik empat individu terkemuka ke SPK untuk tempoh dua tahun mulai 1 Nov, iaitu bekas peguam negara Idrus Harun, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, bekas peguam besar Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid dan pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara Hartini Saripan.
SPK akan memilih calon untuk kenaikan pangkat dan mengemukakan nama itu kepada perdana menteri seperti dikehendaki bawah Akta SPK yang berkuat kuasa pada 2009.
Agong kemudian melantik hakim atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, seperti dinyatakan bawah Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan.