
Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata laporan mendakwa Presiden Muhyiddin Yassin mengarahkan Timbalannya Hamzah Zainudin meredakan ketegangan dalam Bersatu Perak menunjukkan kelemahan Faizal atau lebih dikenali Peja.
Menurutnya, perkembangan di Perak itu mengulangi ketegangan di Negeri Sembilan ketika Faizal memimpin Perikatan Nasional (PN) negeri termasuk menimbulkan kekecewaan PAS sebelum beliau berundur akibat desakan berterusan.
“Kini di Perak pula menyaksikan pemberontakan tercetus dalam kalangan Adun Bersatu, kredibilitinya dipersoal sehingga Hamzah ditugaskan untuk menanganinya.
“Mungkin wajar beliau direhatkan sebagai ketua Bersatu Perak,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan isu itu ‘tidak baik’ ketika PN bakal berdepan PRK Ayer Kuning, Sabtu ini.
“Kedudukan semasa PN Perak dalam keadaan sukar selagi mana Peja mengetuainya. Langkah drastik perlu diambil segera…jika tidak, Bersatu Perak akan berdepan kemelut politik lebih serius.”
Semalam, FMT memetik seorang pemimpin Bersatu mendedahkan Hamzah ditugas meredakan ketegangan isu di Perak itu yang menyebabkan beberapa Adun dan ketua bahagian tidak berpuas hati dengan Faizal.
Difahamkan mereka kecewa dengan tindakan Faizal menghantar surat kepada DUN meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi, didakwa dibuat tanpa perbincangan dengan mereka.
Faizal dipetik berkata permintaan menukar kerusi itu disebabkan Nadziruddin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan yang dilepaskan Zainol.
Namun, beberapa bahagian Bersatu melihat langkah itu sebagai ‘cubaan’ membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang DUN.
Permintaan itu ditolak Speaker DUN Perak, Zahir Abdul Khalid, walaupun beliau bersetuju memindahkan Nadziruddin ke barisan depan, dua kerusi dari Zainol.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berpendapat aura dan imej politik Faizal boleh tercalar disebabkan kontroversi terbabit.
“Hakikatnya apabila presiden (Muhyiddin) minta timbalannya (Hamzah) selesaikan masalah itu menunjukkan ada masalah dengan kepimpinan Peja.
“Aura Peja sedikit demi sedikit tenggelam, dahulu terpaksa beri laluan bagi jawatan timbalan presiden…kini berlaku pula masalah di Bersatu Perak,” katanya.
Abdul Muqit Muhammad dari UM turut senada Faizal ‘tidak memiliki karisma sebagai pemimpin negeri’ dan hanya dilihat sebagai watak ‘penghibur’ dalam dunia politik.
“Keadaan itu turut menjadikan PAS sebagai entiti pembangkang yang lebih berkesan di Perak berbanding Bersatu,” katanya.