‘Boleh tercucuk’, KPM digesa beri pilihan lencana Jalur Gemilang ‘edisi jahit’

‘Boleh tercucuk’, KPM digesa beri pilihan lencana Jalur Gemilang ‘edisi jahit’

Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan berkata reka bentuk lencana pin mendatangkan bahaya kepada pelajar.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam pelajar dilaksanakan berperingkat di semua institusi pendidikan bawah KPM mulai Isnin lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu bapa menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang berbentuk pin pada seragam pelajar kerana bimbang ia mendatangkan bahaya.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata ibu bapa seharusnya diberi pilihan untuk penggunaan lencana jenis jahitan yang dikatakan lebih sesuai khususnya bagi murid sekolah rendah.

Katanya, kebanyakan ibu bapa mengadu lencana jenis pin menyebabkan baju sekolah anak berlubang selain boleh mencucuk badan mereka.

Noor Azimah Abdul Rahim.

“Terdapat pelbagai pilihan di pasaran. Kami berpendapat lencana bentuk jahitan adalah pilihan terbaik,” katanya kepada FMT.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam pelajar dilaksanakan berperingkat di semua institusi pendidikan bawah KPM mulai Isnin lalu, dengan setiap pelajar menerima dua unit lencana ‘edisi pin’ secara percuma.

Langkah itu membabitkan sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.

Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa meluahkan kekecewaan dengan kualiti lencana diagihkan sehingga ada yang terpaksa menanggung kos tambahan membeli lencana Jalur Gemilang baharu tetapi berlainan jenis sebagai langkah keselamatan.

Ada juga ibu bapa berkongsi pengalaman membimbangkan yang jarum penyangkut di belakang lencana anak mereka tercabut sekali gus dikhuatiri mencederakan diri atau orang lain.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, mempersoalkan tindakan tergesa-gesa kerajaan dalam melaksanakan inisiatif tersebut pada seragam pelajar.

Katanya, ia sepatutnya dilaksanakan pada sesi persekolahan baharu pada 2026 bagi memberi peluang kepada semua pihak membuat persediaan sebaiknya.

Mak Chee Kin
Mak Chee Kin.

“Akan ada isu pelajar tercucuk sendiri atau dicucuk. Kenapa (KPM) tak teliti implikasi jika laksana?

“Lagipun lencana pin ini tidak tahan lama, dua hari sudah ada yang tercabut. Murid akan jadikan sebagai permainan…bahaya,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa berasa tidak selamat dengan lencana pin itu boleh membeli yang berbentuk magnet atau jahitan.

“Atau kilang boleh terus jahit pada baju sekolah. Kan lebih mudah dan kurangkan beban mahupun kerisauan ibu bapa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.