
Adun Sentosa RG Gunaraj langkah ini akan membolehkan pendekatan yang lebih tersusun, sistematik dan inklusif terhadap isu-isu tersebut, selain melengkapi mekanisme sedia ada di peringkat negeri seperti Jawatankuasa Khas bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas).
Beliau berkata lembaga ini boleh menyelaras pendaftaran rumah ibadat bukan Islam serta menjadi perantara dalam pertikaian melibatkan isu tanah dan zon guna tanah.
Gunaraj menambah lembaga itu juga boleh menyediakan garis panduan dan nasihat kepada pertubuhan agama, serta membantu merangka dasar inklusif yang menjamin keadilan kepada semua komuniti beragama.
“Secara idealnya, sebuah lembaga penasihat di peringkat kebangsaan yang bekerjasama rapat dengan Limas bukan sahaja dapat memperkukuh usaha melaksanakan penguatkuasaan menangani isu rumah ibadat, malah mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang sering membelenggu komuniti bukan Islam.
“Ini termasuk penggunaan istilah yang mengelirukan dan menyinggung perasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Gunaraj memberikan contoh istilah ‘kuil haram’, yang disifatkannya sebagai tidak tepat dari sudut undang-undang dan budaya.
Beliau berkata ramai yang tidak sedar bahawa banyak rumah ibadat bukan Islam yang sah berdaftar dan mempunyai dokumen lengkap.
“Istilah seperti ‘kuil haram’ digunakan semata-mata berdasarkan struktur fizikal tanpa mengambil kira konteks sejarah atau status sebenar, ia memberi persepsi negatif yang tidak adil terhadap agama tersebut,” katanya.
Pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berusia 130 tahun di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mencetuskan kontroversi bulan lalu, mencetuskan perdebatan mengenai beberapa kuil lain yang didakwa haram oleh sesetengah pihak.
Pada Isnin, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan kepada agensi dan jabatan kerajaan supaya tidak menggunakan istilah ‘kuil haram’.
Dalam surat kepada Anwar, Ahli Parlimen Tapah itu berkata kerajaan tidak seharusnya mengabaikan fakta sejarah mengenai penubuhan kuil Hindu di Malaysia, yang kebanyakannya mendapat kelulusan pihak berkuasa kolonial dan pentadbir tempatan.
Saravanan berkata, banyak kuil Hindu di Malaysia telah lama wujud sebelum Kanun Tanah Negara 1965 dan melabelkannya sebagai ‘haram’ adalah menyinggung penganut Hindu.
Gunaraj turut menyeru agar wujud kefahaman dan rasa hormat yang lebih tinggi ketika mengendalikan isu berkaitan rumah ibadat dan zon guna tanah.
“Penggunaan istilah seperti ‘struktur tidak berdaftar’ atau ‘bangunan tanpa kelulusan’ adalah lebih tepat, profesional dan menghormati sensitiviti semua pihak.
“Namun, kita memerlukan sebuah institusi khusus yang mempunyai kepakaran dan kuasa untuk memberi panduan serta nasihat dalam hal-hal sebegini,” tambahnya.