
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebelum tindakan melucut hak dilaksanakan pemilik tanah akan diberikan notis, antaranya untuk membayar tunggakan terlebih dahulu.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 1,082 hak milik tanah telah dilucut hak oleh pentadbir tanah di seluruh Pahang manakala jumlah kutipan hasil penalti yang dikutip sebanyak lebih RM1.4 juta.
“Tanah kalau tak bayar cukai pun kita rampas tetapi bagi notis dahulu, maknanya prosedur dan peraturan ditetapkan kita patuhi,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang.
Wan Rosdy menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (Adun lantikan) yang ingin tahu jumlah hak milik tanah telah dirampas dan tidak dikembalikan kerana gagal membayar cukai tanah dan jumlah penalti diperoleh kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemilik boleh berunding dengan pentadbir tanah jika terdapat isu berbangkit kerana kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya akan membatalkan hak milik dan menyerahkannya kepada orang lain.