Wajib haji jika cukup syarat, kata ahli akademik agama

Wajib haji jika cukup syarat, kata ahli akademik agama

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari UKM berkata 'amat pelik' apabila seseorang itu menolak menunaikan ibadat haji hanya kerana ingin mengundi.

jemaah haji
Seramai 31,600 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji tahun ini dengan penerbangan pertama pada 29 April ini.
PETALING JAYA:
Seruan menangguhkan haji atau umrah dengan mengutamakan kemenangan politik disifatkan pelik, kata seorang ahli akademik yang berpendapat galakan sebaliknya perlu diberi jika cukup syarat.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata ibadat haji, Rukun Islam kelima wajib dilaksanakan jika cukup syarat termasuk kewangan, kesihatan, kelapangan masa dan mendapat visa.

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

“Apabila semua ini (cukup syarat) maka wajib ke atas individu itu menunaikan ibadat haji apabila segala peluang dan ruang telah pun ada.

“Bukan senang nak dapat peluang ini kerana visa haji sangat terhad (mengikut kuota setiap negara),” katanya kepada FMT.

“Pelik apabila seseorang itu menolak menunaikan ibadat haji hanya kerana ingin mengundi,” tambah Izhar, sambil menegaskan tanggungjawab mengundi boleh dilakukan pengundi lain yang tidak menunaikan ibadat umrah atau haji.

Sabtu lalu, Presiden PAS Hadi Awang dalam kempen Perikatan Nasional PRK Ayer Kuning dilaporkan menyeru masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Dakwanya, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji tahun ini dengan penerbangan pertama pada 29 April ini, tiga hari selepas PRK Ayer Kuning berlangsung Sabtu ini.

Namun mengambil konteks PRK Ayer Kuning, Izhar berkata walaupun mengundi menjadi tanggungjawab warganegara, ia tidak sepatutnya mengatasi kewajipan menunaikan haji.

“Saya yakin tak ramai pun dari kawasan PRK itu yang akan ke Mekah. Mungkin tiga atau empat orang sahaja. Jadi serahkanlah tugas mengundi kepada pengundi lain yang tidak ke Tanah Suci.

“Bila peluang dah ada, jangan tolak tanpa sebab yang munasabah. Kita tak tahu kalau visa itu akan dapat lagi tahun depan. Kesihatan pun belum tentu kekal. Mungkin ini satu-satunya peluang dalam hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.