Wajib kajian impak kepadatan penduduk sebelum lulus projek, gesa NGO

Wajib kajian impak kepadatan penduduk sebelum lulus projek, gesa NGO

Insiden Putra Heights jadi amaran kepada kerajaan dan pemaju untuk menilai semula pembangunan bandar dengan kepadatan penduduk tinggi.

penduduk kebakaran saluran gas Putra Height di Kampung Kuala Sungai Baru
Rumah rosak teruk dengan ada antaranya tidak boleh didiami lagi susulan kebakaran paip gas di Putra Heights 1 April lalu.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan menggesa kerajaan mewajibkan kajian impak kepadatan sebelum meluluskan projek baharu, merujuk tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (PSKK), K Prakash, berkata insiden itu amaran dan pengajaran kepada kerajaan dan pemaju untuk menilai semula pembangunan bandar dengan kepadatan penduduk tinggi.

“Setiap kelulusan projek perumahan, terutama di kawasan bandar yang sudah padat, mesti disertakan kajian menyeluruh tentang impak terhadap sistem trafik, keperluan tempat letak kenderaan, tekanan terhadap fasiliti kesihatan dan pendidikan, serta daya tahan sistem utiliti.

“Selain itu, audit berkala terhadap sistem gas, elektrik, air dan struktur bangunan perlu diwajibkan di kawasan kediaman berintensiti tinggi.

K Prakash
K Prakash.

“Prosedur penyelenggaraan tidak boleh dikompromi kerana risiko terlibat amat besar, sebagaimana yang terbukti di Putra Heights,” katanya dalam kenyataan.

Insiden kebakaran saluran paip gas sepanjang 500m itu menyebabkan kerosakan harta-benda serta mencetuskan trauma dalam kalangan komuniti setempat.

Prakash berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan moratorium pembangunan terhadap projek pembangunan baharu di kawasan bandar yang dikenal pasti sebagai ‘zon beban infrastruktur’ sehingga pelan penambahbaikan dilaksanakan.

“Pertambahan unit perumahan mesti diiringi dengan pembangunan sekolah, hospital, balai polis, taman rekreasi dan kemudahan awam yang setara.

“Insiden ini seharusnya membuka mata semua pihak pembangunan perumahan yang tidak dirancang secara menyeluruh dan mampan boleh membawa kesan buruk yang jauh lebih besar daripada yang dijangka.

“Dalam usaha membina lebih banyak kediaman, kita tidak boleh terus-menerus mengorbankan aspek keselamatan, keselesaan, dan kualiti hidup penduduk,” katanya.

Menurutnya, pemaju sering terlepas pandang sama ada kawasan yang mahu dimajukan benar-benar mampu menampung tambahan penghuni secara selamat dan berdaya huni.

“Masalah ini banyak berlaku di kawasan padat antaranya Putra Heights, Subang Jaya, Puchong, Ampang, Cheras dan Shah Alam,” katanya.

Katanya, antara kesan buruk kepadatan melampau termasuk risiko kegagalan sistem utiliti seperti saluran paip gas, serta kekurangan ruang hijau.

“Rakyat tidak seharusnya membayar harga keselamatan hanya kerana kegagalan perancangan jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.