Tewas pemilihan PKR, Christina Liew disaran bersara politik

Tewas pemilihan PKR, Christina Liew disaran bersara politik

Azmi Hassan menyarankan Christina Liew pertimbang bersara daripada politik, tetapi Oh Ei Sun berpendapat bukan mudah mencari penggantinya.

Christina Liew
Kekalahan Christina Liew dalam pemilihan jawatan ketua PKR Kota Kinabalu hujung minggu lalu merupakan halangan terbaharu dalam kerjaya politiknya.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyarankan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew mempertimbangkan untuk bersara daripada politik selepas tewas dalam pemilihan jawatan ketua PKR Kota Kinabalu hujung minggu lalu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Adun Api-Api selama tiga penggal itu disingkirkan sebagai ketua PKR Sabah tiga tahun lalu, sebelum kehilangan jawatan pengerusi Pakatan Harapan negeri Disember lalu.

Beliau berkata, kehilangan jawatan ketua PKR Sabah tamparan sangat besar buat Liew, dengan hampir 20 daripada 25 ketua bahagian di negeri itu menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Itu bermakna mereka tidak bersetuju dengan cara Christina menerajui PKR di Sabah. Beliau hilang pengaruh, jadi tidak mengejutkan beliau hilang jawatan ketua Kota Kinabalu.

“Saya rasa bagi Christina, tanda-tanda memang sudah jelas,” katanya kepada FMT.

Menjelang PRN Sabah akhir tahun ini, Azmi percaya Liew tidak berpeluang mempertahankan kerusi DUN dipegangnya buat penggal keempat.

Beliau menyifatkan Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud sebagai tokoh disukai ramai dalam parti dan PH serta boleh membawa perubahan kepada PKR negeri itu.

“PKR lebih kuat dalam rundingan kerusi PRN akan datang, jika Mustapha dibenar mengendalikan sepenuhnya. Liew perlu berundur dengan penuh hormat dan beralih ke peranan di belakang tabir.”

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Tetapi, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura percaya Liew masih berpeluang bertanding dalam PRN kerana PKR Sabah kekurangan pemimpin kanan seperti menteri pelancongan negeri itu.

Beliau juga tidak melihat Liew berniat berundur ketika ini.

“Christina mungkin pemimpin kanan PKR paling lama berkhidmat di Sabah. Tetapi, kekalahan dalam parti walaupun beliau menang dalam pilihan raya secara berterusan adalah tanda-tanda jelas ada hasrat untuk kepimpinan parti baharu dan bertenaga.

“Tanpa Christina, sukar untuk mencari pemimpin kanan lain yang boleh menggantikannya.”

Liew tewas jawatan ketua PKR Kota Kinabalu kepada Lee Li Mei dalam saingan sengit. Liew mendapat 1,157 undi berbanding 1,381 undi diraih Lee.

Disember lalu, Presiden Upko, Ewon Benedick menggantikan Liew sebagai pengerusi PH Sabah, jawatan yang disandangnya sejak 2017. Ia susulan pemilihan dalaman di kalangan pemimpin tertinggi PH negeri, di mana Liew ketinggalan tiga undi kepada Ewon, menteri persekutuan.

Liew dilaporkan berkata, beliau akan memfokuskan pemilihan PKR dan PRN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.