
Seorang pemimpin Bersatu berkata, beberapa Adun dan ketua bahagian tidak berpuas hati dengan Ketua Perak, Ahmad Faizal Azumu menghantar surat kepada DUN meminta Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong, Nadziruddin Bandi.
Adun terbabit dan ketua bahagian berkata, mereka tidak dirujuk mengenai langkah itu, yang sepatutnya dibincangkan kerana membabitkan peranan besar di Perak.
Pemimpin Bersatu itu berkata, Presiden Muhyiddin Yassin secara khusus menugaskan Timbalannya, Hamzah menguruskan pertikaian itu.
“Muhyiddin meminta Hamzah meneliti masalah itu,” kata pemimpin terbabit kepada FMT.
Faizal yang juga dikenali Peja berkata, permintaan menukar kerusi itu disebabkan Nadziruddin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan yang dilepaskan Zainol.
Tetapi, beberapa bahagian Bersatu melihat langkah itu “cubaan” membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan.
Zainol duduk bersebelahan Razman dalam DUN Perak.
Permintaan itu ditolak Speaker DUN Perak, Zahir Abdul Khalid, walaupun beliau bersetuju memindahkan Nadziruddin ke barisan depan, dua kerusi dari Zainol.
Terkejut
Ketua Bersatu Ipoh Timur, Fadhli Ismail, berkata beliau dan pemimpin bahagian lain terkejut selepas mendapat tahu surat Faizal itu, yang menurutnya dihantar secara sepihak.
Menurutnya, Zainol peerlu kekal sebagai pemangku ketua pembangkang semasa ketiadaan Razman disebabkan kekananan dalam parti dan Adun.
Zainol, Adun empat penggal, berkhidmat dalam exco Perak selama tiga penggal dan juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Nadziruddin pula ialah Adun penggal pertama yang baru dilantik sebagai setiausaha Bersatu Perak.
Adun Kuala Sepetang, Ahmad Man, berkata Bersatu Perak mahupun Perikatan Nasional belum mengadakan mesyuarat membincangkan langkah pertukaran kerusi itu.
“Ini soal DUN, bukan isu parti semata-mata,” katanya sambil menambah Adun PAS pada awalnya tidak tahu mengenai cadangan pertukaran kerusi itu.
Seorang lagi ketua bahagian yang enggan dinamakan berkata, keputusan parti membabitkan peranan kepimpinan perlu dimaklumkan dengan jelas dan dibincangkan terlebih dahulu.