Fokus kualiti produk, tarif bukan halangan utama, kata Johari

Fokus kualiti produk, tarif bukan halangan utama, kata Johari

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata tarif ke atas produk eksport hak mutlak negara pengimport yang turut dikenakan terhadap negara lain.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani (dua kanan) merasmikan pejabat baharu CTCS Worldwide Sdn Bhd di Cheras, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani mengingatkan industri tempatan bahawa tarif ke atas eksport perabot bukan halangan utama, sebaliknya kualiti produk perlu diutamakan untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, tarif ke atas produk eksport hak mutlak negara pengimport yang turut dikenakan terhadap negara lain seperti Vietnam dan Indonesia.

“Bila kita menjual, mereka nak kenakan tarif, itu hak mereka. Kita tidak boleh buat apa. Tapi kita boleh pastikan produk kita berkualiti tinggi dan menepati kehendak mereka,” katanya pada sidang media majlis rumah terbuka Aidilfitri dan perasmian pejabat baharu CTCS Worldwide Sdn Bhd.

Johari berkata, industri perabot Malaysia memiliki keunikan tersendiri kerana bukan hanya bergantung kepada bahan mentah seperti kayu, tetapi juga nilai reka bentuk tinggi.

“Saya tengok ada satu sofa buatan kita, cantik dan dijual RM4,000. Tapi kalau beli di luar negara, mungkin mencecah RM20,000 walaupun reka bentuk hampir sama.”

Pada 2 April lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik ke atas beberapa negara, termasuk banyak rakan dagang Asia Tenggaranya, dengan Kemboja sebanyak 49%, Laos (48%), Vietnam (46%), Malaysia (24%) dan Singapura (10%).

Tetapi, beliau kemudian mengumumkan penangguhan sementara penguatkuasaan tarif import selama 90 hari pada 11 April lalu.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, kerjasama syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera penting dalam mengukuhkan rantaian bekalan industri tempatan.

Beliau memberi contoh syarikat Bumiputera belajar menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat bukan Bumiputera.

“Ini adalah pendekatan lebih praktikal berbanding konsep ‘payung’ sebelum ini yang tidak mampan, di mana banyak syarikat induk lebih mengutamakan keuntungan sendiri.”

Melalui kerjasama sedemikian, katanya, syarikat Bumiputera yang mendapat kontrak besar boleh memanfaatkan pengalaman dan sumber syarikat bukan Bumiputera untuk memperbaiki serta mengembangkan kapasiti mereka.

“Jika ada pesanan besar, syarikat Bumiputera boleh bergabung untuk berkongsi pesanan tersebut, memastikan setiap pihak mendapat keuntungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.