
Loke berkata, cenderahati buatan Malaysia dan ukirannya dibuat oleh Royal Selangor itu disampaikan kepada Xi tanpa sebarang protokol kerana ia bukan pemberian rasmi kerajaan, lapor Berita Harian.
“Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Loke mengulas isu pemberian cenderahati itu yang didakwa dibuat tanpa sebarang protokol rasmi dan didakwa berlangsung berhampiran pintu belakang.
Video pendek penyerahan cenderahati berupa plak itu dimuat naik Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di Facebook miliknya.
Video itu menyatakan Loke mewakili DAP memberi plak kenang-kenangan kepada setiausaha agung Parti Komunis China.
Loke dalam satu hantaran di Facebooknya menjelaskan cenderahati itu diberikan berhampiran pintu belakang demi keselamatan Xi.
Beliau berkata, plak itu adalah 100% buatan Malaysia dan ukiran naga simbol yang melambangkan kekuatan, kebijaksanaan serta persahabatan dalam budaya Cina.