Cadangan naik tarif pelabuhan 30% secara berfasa, kata Loke

Cadangan naik tarif pelabuhan 30% secara berfasa, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata ia dilaksana secara berfasa dalam tempoh tiga tahun bukan sekali gus.

westport port klang
Sebelum ini Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30%.
PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menjelaskan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30% bagi pengendalian dan penyimpanan kontena dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, penilaian semula tarif kali ini sudah melalui pelbagai proses termasuk konsultasi bersama pemegang taruh dan perbincangan jawatankuasa konsultatif di peringkat pelabuhan.

“Bukan sekali gus naik, tetapi akan naik 15% pada fasa pertama kemudian 10% dan 5% pada fasa seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan dan raikan kasih Madani Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun, Loke berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

“Saya belum tandatangani apa-apa lagi,” katanya.

Beliau berkata, tarif pelabuhan tidak pernah dikaji semula sejak 10 tahun lalu.

“Pada tahun 2015, menteri ketika itu telah menetapkan untuk naik 30% secara dua fasa, iaitu 15% pada tahun itu dan seterusnya naik 15% lagi pada tahun 2018. Itu semakan terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya akan memperkenalkan satu mekanisme lebih tersusun serta telus, yang mana mengkaji semula tarif berkenaan secara tahunan.

“Mungkin ikut formula yang lebih rendah. Umpamanya ada kenaikan indeks harga pengguna (CPI) dan dia punya kadar inflasi tahunan berapa. Kalau 2% maka kenaikan itu mungkin beransur-ansur dan tidak mendadak macam hari ini,” katanya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keseimbangan dicapai antara keperluan kapasiti pertumbuhan negara.

“Dengan ini, semua pihak dapat menerima baik, pada masa sama pelabuhan juga kekal kompetitif,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, Bernama melaporkan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30%.

Presiden Soh Thian Lai berkata kenaikan itu akan memberi implikasi besar terhadap kos menjalankan perniagaan bagi pihak pengilang dan syarikat pengangkutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.