
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai mempertahankan Presidennya, Hadi Awang yang dilaporkan berkata ‘kemenangan politik’ bagi Islam patut diutamakan berbanding menunaikan haji atau umrah.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar menegur semua pihak, khususnya ahli politik supaya tidak menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Tuan Ibrahim bagaimanapun hairan dengan kenyataan Na’im meminta semua pihak berhenti menggunakan al-Quran dan hadis, yang turut merangkumi panduan berhubung politik serta ekonomi, ketika berkempen.
“Pendapat ini memang pelik, yang tak seharusnya dikeluarkan menteri agama. Kita kena faham yang bercakap bukan orang jahil. Yang (patut) disebut itu sepatutnya orang Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan, manakala dalil sebagai hujah penting dalam hidup kita.
“Ini bukan menyentuh parti dan politik (sebaliknya ia) juga sebahagian daripada Islam. Quran sendiri memandu kita dalam berpolitik, jadi Quran memang panduan terbaik dalam isu ini,” katanya kepada FMT sambil menggesa Na’im merujuk fatwa pernah dikeluarkan mufti Johor dan Pahang.
Sabtu lalu, Hadi dalam kempen PRK Ayer Kuning dilaporkan berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ‘Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin’.
Menurutnya, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan itu, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
Semalam, Na’im dilaporkan berkata, semua pihak perlu menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi membabitkan ibadah dalam rukun Islam serta proses demokrasi penting bagi negara.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahmad Yunus Hairi, berkata semua dasar, keputusan dan tindakan dalam politik wajib bersandarkan al-Quran serta hadis untuk mencapai keadilan, kesejahteraan ummah dan keredaan.
Beliau berkata, pihak yang mempertikaikan pendekatan itu perlu ke meja rundingan (muzakarah).
“Bukankah dalam Islam, perbezaan pandangan diselesaikan melalui ilmu, hujah dan musyawarah, bukannya tuduhan,” soalnya.