2 wanita direman berkait rasuah daftar kelahiran

2 wanita direman berkait rasuah daftar kelahiran

Suspek berusia lingkungan 40-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, semalam.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA:
Dua wanita direman kerana disyaki terlibat sindiket menguruskan proses pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran dengan bayaran kira-kira RM10,000.

Perintah reman selama lima hari hingga 26 April dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek berusia lingkungan 40-an ditahan sekitar 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 dengan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 yang dimasukkan melalui akaun bank milik ejen.

“Manakala seorang lagi suspek bertugas di sebuah hospital swasta di Melaka disyaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berperanan mendapatkan sijil kelahiran menggunakan butiran matan palsu bagi pengesahan kelahiran bayi yang diuruskan oleh ejen sedangkan tiada rekod kelahiran bayi di hospital terlibat,” katanya.

Katanya, suspek terbabit ditahan dalam ‘Ops Child’, iaitu rentetan daripada ‘Ops Birth’ yang melibatkan ejen dan sindiket.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkalan susulan akan dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.