Wajah dijadikan badut, Razman desak exco Perak minta maaf

Wajah dijadikan badut, Razman desak exco Perak minta maaf

Razman Zakaria berkata beliau akan mengambil tindakan terhadap Woo Kah Leong jika tiada permohonan maaf.

Razman Zakaria
Razman Zakaria berkata tindakan Woo Kah Leong daripada DAP disifatkan sebagai provokasi dan kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menuntut Exco Woo Kah Leong memohon maaf secara terbuka kerana memuat naik gambarnya berpakaian seperti badut di Facebook.

Beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai provokasi dan kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Jika tiada sebarang permohonan maaf, saya tidak teragak-agak membuat aduan dan membuat tindakan perundangan kepada exco daripada DAP ini supaya memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 jam,” katanya kenyataan.

Mengulas lanjut, Adun Gunung Semanggol itu turut memetik Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penyebaran kandungan jelik, mengancam atau bersifat menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan atau mengganggu pihak lain.

Katanya, tindakan menggunakan wajah beliau tanpa kebenaran dalam bentuk menghina merupakan satu kesalahan bawah undang-undang dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Ketua pembangkang DUN Perak yang digantung enam bulan mulai minggu lalu itu juga meminta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat serta mengambil tindakan terhadap Woo.

Beliau turut menyelar Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, yang sebelum ini lantang mengkritik pihak lain sebagai tidak matang, namun membiarkan tindakan tidak beretika oleh ketua Pemuda partinya sendiri.

Razman merujuk kritikan Nga terhadap tindakan penyokong Perikatan Nasional menggunakan karikatur seolah-olah menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook pada penamaan calon PRK Ayer Kuning.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.